Thursday, April 24, 2008

HIKAYAT

Kisah Cinta Rasulullah SAW.

Aku sering terbayang dan terfikirkan, bagaimanakah rasa cinta Nabi Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutalib SAW. Dan aku sering cuba berangan untuk berada di tempat ketika Rasulullah SAW melafazkan tarbiah kepada isterinya, kepada anak2nya, kepada cucu2nya, kepada para sahabatnya. Maka aku ingin coretkan sebuah kisah benar tapi diolah dan disampaikan dengan cara ku sebagaimana yang pernah diceritakan oleh arwah atok aku. Cara penyampaiannya mirip cara Saidina Jaafar Al Barzanji menyusun kisah sejarah Rasulullah SAW dalam bentuk puisi syair yang indah.

Pernah suatu ketika, Rasulullah SAW berqiamullail. Dalam solat tahajudnya, Rasulullah SAW sujud agak lama kerana hatinya merintih memohon ampunan Allah. Saiyidatina Aishah merasa gusar. Mana tidaknya kerana sujud Rasulullah SAW kali ini amat luar biasa panjangnya. Jelas kelihatan kaki Rasulullah SAW bengkak2 disebabkan terlalu lama berdiri dalam menunaikan solat Tahajud. Kerana rasa kasih dan cintanya Aisyah kepada Rasulullah SAW, khuatir Rasulullah SAW telah wafat dalam sujudnya, Aisyah menggerak2kan tubuh Rasulullah SAW. Terbatallah solat Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersimpuh di hadapan Aisyah sambil tersenyum :

Rasulullah SAW : Untuk apa engkau mengganggu aku dalam munajat ku wahai Humaira ku sayang ?

Aisyah : Aku bimbang engkau telah pergi meninggalkan ku dan umat ini kembali ke rahmatullah. Maka hilanglah sumber kecintaan ku dan umat ini.

Rasulullah SAW : Sayang ku, Aku hanya ingin mendampingi Allah SWT yang amat aku cintai.

Aisyah : Ya Rasulullah SAW, bukankah engkau seorang Rasul? Bukankah engkau paling dicintai Allah ? Mengapa harus diri mu bersusah-susah menunaikan ibadah sedangkan Allah telah jamin kedudukan mu amat mulia dan tinggi di sisi-NYA berbanding makhluk2 lain ciptaan-NYA ?

Rasulullah SAW : Wahai Humaira ku sayang. Aku hanya seorang HAMBA. Sebagai seorang hamba, memang sewajarnya aku mengabdikan diri ku kepada ALLAH yang amat ku cintai dalam ibadah ku. Salahkah aku menzahirkan sifat ku sebagai seorang hamba ?

####### END #######

HIKAYAT 2

Di suatu ketika, Siti Fatimah binti Muhammad SAW melihat ayahandanya duduk keseorangan di hadapan rumahnya. Dari jau Sii Fatimah melihat air mata ayahnya menitis dari celah kelopak mata baginda yang mulia dan mengalir halus ke pipi. Maka berjalanlah Siti Fatimah kepada ayahnya. Di dakap tubuh ayahnya sambil disandarkan kepalanya ke dada ayahnya yang amat disayangi.

Siti Fatimah : Wahai ayah ku sayang. Apakah yang menyedihkan diri mu ? Luahkanlah kepada anak mu ini agar kesedihan ayah dapat anak mu kongsi bersama.

Rasulullah SAW : Fatimah puteri ku sayang. Hati ku sayu kerana mengenangkan dosa2 yang aku telah lakukan kepada Allah dan mengharapkan keampunan Allah SWT.


Siti Fatimah : Ayah ku sayang, bukankah engkau seorang Rasul yang maksum yang terpelihara dari dosa ? Gembiralah hati mu kerana engkau lah yang menjadi rahmat kepada sekelian alam, dan tempat mu di sisi Allah amat mulia.

Rasulullah SAW : Puteri ku sayang, aku hanyalah seorang HAMBA. Sewajarnyalah seorang hamba sentiasa merasai diri berdosa. Sehari semalam tidak kurang aku memohon taubat kepada Allah sebanyak 70 kali.

##### END #####

HIKAYAT 3

Saidina Omar Al Khattab, sewaktu menjadi khalifah, dia sering berjalan malam ketika rakyatnya nyenyak tidur diulit mimpi2 yang indah. Dengan menyamarkan dirinya sebagai seorang pengemis, Saidina Omar berjalan memasuki lorong2 sunyi, kamung dan desa yang berada di dalam wilayah pentadbirannya sambil diiringi oleh seorang sahabat bernama Aslam.

Hazrat Aslam r.a, seorang hamba kepada Saidina Umar RA menceritakan bahawa, pada suatu malam, ketika mereka berdua sedang meronda dari pintu ke pintu, mereka terjumpa dengan sebuah keluarga yang mana di dapati anak-anaknya sedang menangis meraung, dan di luar rumah terdapat periuk yang di nyalakan api, apabila di tanya oleh Saidina Omar RA kepada si ibu akan apakah gerangan derita si anak-anak menangis sebegitu rupa? Jawab si ibu, bahawa anak-anaknya sedang menderita kelaparan dan beliau sedang menipu anaknya dengan merebus batu-batu jalanan hanya untuk menghiburkan anaknya supaya anaknya nanti tertidur sambil menunggu ‘makanan‘ itu masak;..

Tersentak jantung Saidina Omar RA. Dia yang merupakan seorang khalifah islam pada waktu itu tidak menyangka masih ada golongan daif yang tidak terbela dalam wilayah jajahannya. Sambil beristighfar kepada Allah, Saidina Omar terus berlari ke BAITUL MAL di tengah-tengah kegelapan malam.

Dengan lantang dan tegas Saidina Omar bersuara : Siapakah Omar yang menjadi khalifah sedangkan ada dikalangan rakyatnya yang menderita. Omar hanyalah seorang HAMBA yang daif. Tanpa pimpinan Allah tidak mungkin Omar dapat melihat kelemahan dirinya sebagai seorang HAMBA.

Lalu Saidina Omar mencapai seguni gandum yang berada di simpanan Baitul Mal.. Guni yang berat itu dipikulnya sendiri ditengah belakangnya dan dia bergegas kembali membawa seguni gandum kepada keluarga yang ditemuinya tadi.

Pernah Aslam menawarkan diri untuk menolong memikul gunigandum tersebut, tapi di bantah oleh Saidina Omar dengan soalan: “Adakah kau nak pikul dosa aku kat akhirat kelak?.”

Saidina Omar RA sendiri memasak makanan untuk keluarga tersebut dan menurut Aslam r.a, ketika melihat saidina Omar memasak sambil menuip bara api, “aku lihat asap keluar dari celah-celah janggutnya yang tebal”.

Saidina Omar juga yang melayan dan menyuapkan makanan kepada keseluruhan anak-anak ibu tua tersebut.


Maka makanlah seisi keluarga itu dengan gembira tanpa menyedari bahawa orang yang menolongnya adalah Pemimpin tertinggi orang Islam.

Ketika keluarga itu selesai makan, saidina Omar melepak berehat sambil berkata:
“Tadi aku telah lihat mereka manangis, sekarang aku berehat sebentar kerana ingin melihat mereka ketawa gembira..”


Begitulah diri yang dididik oleh iman. Walau berada di puncak kekuasaan, namun hatinya tetap tunduk dengan jiwa HAMBA. Hamba kepada Allah SWT.

##### END #####

Arwah datuk ku pernah berpesan : Kalau hamba berlagak hamba, raja akan sayang padanya. Tapi kalau raja berlagak hamba, ALLAH akan sayang padanya

Dan Firman Allah dalam Surah Al Fajr ayat 27 - 30 :

Wahai jiwa-jiwa yang tenang (27), kembalilah kepada Tuhanmu dengan rela dan diridlai (28), masuklah ke dalam golongan hamba-hamba- Ku (29), masuklah ke dalam sorga-Ku (30).

Dan itulah JAWATAN PALING MULIA milik manusia di sisi Allah iaitu sebagai HAMBA.

Jawatan HAMBA ALLAH saja yang menjamin hati-hati menjadi tenang.

Allah menyeru manusia yang di KASIHI sebagai HAMBA-NYA.

Allah mempersilakan HAMBA-NYA untuk memasuki syurga -NYA

Sebagai seorang HAMBA memang sewajarnya kita merasakan diri berdosa dan bersalah. Kerana dengan rasa diri berdosa dan bersalah itulah maka kita tidak akan putus-putus memohon ampunan dan bertaubat.

Kerana dengan rasa diri berdosa dan bersalah itulah maka kita tak berputus asa dengan rahmat dan ampunan ALLAH.

Kerana merasa diri berdosa dan bersalah itulah yang menjadi pendorong kepada kita untuk menghindarkan kemungkaran dan mendorong kita melakukan kebajikan.

Kerana merasa diri berdosa dan bersalah itulah yang menjadi benteng dan perisai untuk kita agar tidak mengulangi kesilapan silam.

-Allahu'alam-