oleh Maznah Daud
Dari mana datangnya lintah
Dari sawah turun ke kali
Dari mana datangnya cinta
Dari mata turun ke hati
Kala senja bermain di kali
Indahnya panorama disimbah mentari
Pabila cinta mencuit hati
Barajalah syahwah imanpun teruji
Menutup aurat adalah satu kewajipan yang dituntut ke atas wanita Islam. Hal ini disedari dan diberikan penekanan oleh banyak pihak. Atas kesedaran ini, wanita Islam sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan kewajipan menutup aurat.
Buktinya pada 1 Julai lalu, seorang muslimah warganegara Mesir, Marwa yang hamil tiga bulan ditikam 18 kali oleh lelaki yang dituduh dalam rayuan perbicaraan di Dresden, Jerman. Kejadian itu berpunca daripada insiden di taman permainan berdekatan rumah Marwa di Dresden. Ketika itu, Marwa yang memakai tudung meminta laluan kepada Alex supaya membenarkan anak lelakinya bermain buaian di taman berkenaan tetapi dibalas dengan jeritan, ‘pengganas’, ‘perempuan jahanam’ dan ‘kamu tidak layak menetap di sini’. Marwa kemudian membuat laporan polis ke atas Alex, rakyat Jerman yang berketurunan Russia atas dakwaan bersikap kurang ajar.
Namun ramai yang tidak menyedari dan tidak memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap kewajipan menjaga pandangan mata. Walhal perintah menjaga pandangan mata disebut dalam ayat yang sama dengan perintah menutup aurat.
Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan- Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;…..”
(An-Nur 24:30-31)
Ayat 30 ditujukan kepada kaum lelaki yang beriman (mukminin), manakala ayat 31 ditujukan kepada kaum wanita yang beriman (mukminat). Dalam kedua-dua ayat di atas, Allah s.w.t. memulakan perintah-Nya agar mengawal pandangan dan diikuti dengan perintah supaya memelihara kemaluan. Ini secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa terdapat hubungan yang rapat antara mata dengan kemaluan atau hubungan yang terlarang. Ketika mentafsirkan ayat ini, Ibn Kathir menyebut bahawa pandangan membawa kepada rosaknya hati dan kerosakan hati akan membawa kepada zina. Lantaran itu Allah s.w.t. mendatangkan perintah agar memelihara kemaluan selepas perintah mengawal pandangan.
Sehubungan dengan itu terdapat hadis-hadis sahih yang jumlahnya tidak sedikit mengingatkan kita agar mengawal pandangan mata. Antaranya:
* Daripada Abi Sa’eed r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Jauhilah kamu daripada duduk di tepi-tepi jalan!” Mereka berkata: “Ya Rasulullah! Kami tidak dapat lari daripada duduk di tepi-tepi jalan. Di situlah tempat kami duduk berbincang dan bersembang.” Baginda bersabda: “Sekiranya kamu mahu teruskan juga, maka berilah jalan itu haknya.” Mereka bertanya: “Apakah hak jalan itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mengawal pandangan, menjawab salam, menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar.”
(Riwayat al-Bukhari)
* Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya pandangan itu satu panah daripada panah-panah iblis yang beracun. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah, akan digantikannya dengan iman yang dapat dikecapi kemanisannya dalam hatinya.”
(Riwayat at-Tabraniy)
* Daripada Abi Umamah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Mana-mana Muslim yang memandang kecantikan seorang wanita kemudian bersegera melarikan pandangannya, Allah akan menggantikannya dengan ibadah yang dia merasai kemanisannya.”
(Riwayat Ahmad)
* Daripada Abi Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Setiap anak Adam ada habuannya daripada zina. Dia tidak dapat mengelak daripadanya. Maka zina kedua-dua mata itu memandang. Zina lidah bercakap. Zina kedua-dua telinga mendengar. Zina kedua-dua tangan memegang. Zina kedua-dua kaki melangkah. Nafsu berangan dan rasa berahi, kemaluan yang menjadikan angan-angan nafsu itu menjadi nyata atau sebaliknya.”
(Riwayat al-Bukhari)
* Daripada Abi Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Semua mata akan menangis pada Hari Kiamat nanti kecuali mata yang dikawal daripada memandang apa yang diharamkan Allah, mata yang berjaga dalam jihad fi sabilillah dan mata yang bengkak menangis kerana takutkan Allah ‘azza wa jalla.”
(Riwayat Ibn Abi ad-Dunya)
Baru-baru ini, satu kajian yang dilakukan ke atas sekumpulah mahasiswa dan mahasiswi sebuah universiti di Belanda menunjukkan kehadiran wanita dengan gaya menawan dan bercakap-cakap dengan mereka menimbulkan kecelaruan fikiran bagi lelaki dan melemahkan ingatan mereka. Tumpuan fikiran mereka jatuh merudum.
Ahli sains menegaskan bahawa semakin banyak perhiasan wanita dan tarikannya, semakin hebat kesan yang terjadi ke atas lelaki yang memandangnya.
Mereka mentafsirkan fenomena ini dengan berkata bahawa sel-sel otak yang memainkan peranan memproses maklumat dan membuat keputusan akan terjejas dengan kehadiran wanita, memandangnya dan bercakap-cakap dengannya.
Kajian memfokuskan kepada isu tarikan, godaan dan pendedahan aurat.
Dapatannya adalah memandang kepada wanita yang mendedahkan aurat menyebabkan lelaki hilang tumpuan, menjejaskan pertimbangan dan tidak mempunyai kemampuan untuk membuat keputusan jitu dan bernas. Keadaan ini dialami beberapa ketika selepas berlakunya pandangan sehingga kesan pandangan itu hilang. Kajian ini juga menunjukkan bahawa melihat wanita yang berhias dan mendedahkan aurat itu lebih besar kesannya berbanding wanita yang kurang berhias, berpakaian sopan dan menutup aurat.
Semakin jelas kepada kita hikmah Allah s.w.t. mengakhiri ayat 30 yang memerintahkan lelaki mengawal pandangan dengan friman yang bermaksud ‘Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan- Nya tentang apa yang mereka kerjakan.’ Sesungguhnya Allah benar-benar Mengetahui dan Memahami setiap sudut dan setiap liku yang berlegar dalam hati hamba-hamba- Nya.
“Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketidakjujuran) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi dalam hati.”
(Ghafir 40:19)
Dan terserlahlah hikmah kenapa Allah s.w.t. memerintahkan wanita sahaja menutup aurat selepas perintah mengawal pandangan dan memelihara kemaluan yang sama-sama ditujukan kepada kaum lelaki!
http://www.malaysia harmoni.com/ index.php/ kolumnis/ ustazah-maznah- daud/59-panah- beracun
p/s artikel ni dah lama dikeluarkan, oleh ustazah maznah
wallahua'lam